**Listen AL-QURAN**

Sunday, December 13, 2009

Khatan yang Menyucikan

Al - aqlaf

  • Baginda Rasulullah SAW menyebut sacara khusus tentang kedudukan orang lelaki yang tidak berkhatan atau dalam istilah Baginda SAW ‘al-aqlaf’ yang boleh diterjemahkan dengan lidah Melayu sebagai si kulup. Rasulullah SAW menyebut si kulup tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa bersunat (riwayat al-Baihaqi). Waqi’ pula meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya: ‘Si kulup tidak diterima solatnya dan tidak boleh dimakan sembelihannya’.
  • Para ulama menyentuh secara jelas tentang masalah yang timbul bagi si kulup. Kewujudan lapisan kulit dikeliling kemaluan boleh menjejaskan kesucian diri. Bila si kulup kencing, air kencing mungkin melekat dan bertakung di kawasan berkenaan. Membersihnya adalah sukar, hujah para ulama’. Sedangkan solat itu hanya sah jika dia benar-benar suci dan bersih. Ustaz Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa inilah sebabnya para ulama salaf dan khalaf melarang si kulup menjadi imam. Adapun, solat mereka sendiri boleh diterima sebagai status seorang yang tidak suci kerana uzur, sebagaimana solat orang mengidap penyakit tidak mampu mengawal kencing.

Tarbiyah dalam hukum khatan

  • Pada khatan itu ada tarbiyah. Muslimin sejak dari kecil diajar untuk menjadi bersih dan menjaga kesucian. Sejarah khatan bermula sejak Nabi Ibrahim. Baginda yang berkhatan pada umur lapan puluh tahun, adalah orang yang paling awal berkhatan. Para anbiya’ dan keturunan Baginda selepas itu meneruskan tradisi berkhatan. Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Ayyub, katanya Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara dari sunnah para Rasul iaitu: khatan, berwangi-wangian, bersiwak, dan nikah.
  • Sunnah Nabi Ibrahim berterusan hingga keturunannya termasuklah dari bangsa Arab. Oleh itu kebanyakan masyarakat Arab berkhatan sejak kecil. Apabila Islam datang, mereka memeluk Islam yang sememangnya mewajibkan mereka bersunat. Oleh itu kita tidak berjumpa kisah sahabat berkhatan beramai-ramai apabila memeluk Islam dalam Sirah Rasulullah SAW. Selepas dari itu khatan bukan sahaja menjadi adat bangsa Arab, bahkan menjadi sebahagian syariat yang perlu dipatuhi.
  • Khatan juga mengajar erti kepatuhan Yang Maha Kuasa. Walau pun khatan itu mungkin sedikit menyakitkan bagi anak-anak, namun disitu letaknya simbol ketaatan. Mesejnya mudah. Taat kepada Allah walaupun terpaksa sakit. Walau pun terpaksa ‘mengorbankan’ dan ‘berpisah’ dengan secebis kulit pada badan sendiri.
  • Aspek paling ketara ialah kesucian dan kebersihan. Allah mensyariatkah khatan bagi mendidik hambaNya agar menjaga kebersihan. Rangkuman hukum kewajipan solat, hukum bersuci, hukum istinja’ dan hukum khatan ini menjadikan kaum muslim sepatutnya umat yang paling pembersih, paling wangi, paling sihat dan paling segar. Inilah pembeda besar antara seorang muslim dan bukan muslim. Inilah juga syiar yang menunjukkan kehebatan Islam.

Khatan yang menyihatkan

Kebersihan membawa kepada kesihatan. Beberapa kajian telah dibuat bagi menunjukkan kelebihan berkhatan. Dr. Sobri Al-Qubbani dalam bukunya bertajuk ‘Kehidupan dan Seksologi” menyebut bahawa khatan mendatangkan manfaat-manfaat berikut dari sudut kesihatan:
  • Pembuangan kulit berkenaan membebaskan seseorang daripada risiko penyakit kulit yang berpunca dari peluh, daki, kumpulan lemak serta kuman yang terkumpul di situ sekaligus menimbulkan bau yang busuk dan terdedah kepada jangkitan.
  • Dapat mengelakkan risiko termasuk atau tersendat kepala zakar ketika berlunjur.
  • Mengurangkan risiko kanser prostat
  • Anak-anak yang berkhatan awal kurang risiko sindrom terkencing malam.
Khatan ini menjadi wajib apabila anak tersebut hampir aqil baligh, agar bila tiba umur mukallaf, dia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna dan diterima Allah. Namun, lebih afdal, jika khatan itu dilakukan sewaktu anak masih kecil sama ada pada hari ke tujuh, empat belas, dua puluh satu atau seumpamanya.

Kini terdapat banyak klinik dan pusat rawatan yang menyediakan khidmat berkhatan bagi bayi sekitar umur berkenaan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang canggih. Walau pun khatan waktu bayi belum menjadi budaya popular di Malaysia, diharap suatu hari nanti ramai yang memilih cara ini sesuai dengan amalan baginda Rasulullah SAW. Dalam hadis riwayat al-Baihaqi, daripada Jabir r.a, bahawa Rasulullah SAW telah mengaqiqahkan untuk Al-Hasan dan Al-Husain, serta mengkhatankannya pada hari ketujuh.

Hukum Khatan Lelaki & Wanita

  Dalil utama berkaitan ‘Khatan’ adalah:

خمس من الفطرة : الختان والإستحداد وتقليم الأظافر ونتف الإبط وقص الشارب
“Lima perkara fitrah : berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur) dan memendekkan misai.” (Riwayat Muslim)

Pandangan para ulama dalam memahami hadith di atas terbahagi kepada tiga kumpulan :-

1) Hukumnya sunat bagi lelaki dan wanita . Ia adalah pandangan Imam Malik dalam satu riwayat, Abu Hanfiah dan sebahagian ulama mazhab Syafie.
2) Wajib bagi lelaki dan wanita . Demikian fatwa Mazhab Syafie dan kebanyakan Ulama dan juga pandangan Imam Suhnun anak murid Imam Malik,
3) Wajib bagi lelaki dan hukumnya sunat bagi wanita. Demikian sebahagian ulama Syafie, dan mazhab Hanbali. 


Kesimpulannya, bahawa khatan bagi lelaki adalah wajib, dan jika warga lelaki satu negara semuanya tidak berkhatan, maka pemerintah perlu bertindak ke atas mereka.


Syeikh Atiyyah Saqar memberikan ijtihad beliau setelah meneliti dalil-dalil yang ada. Katanya tiada dalil yang sohih serta terlepas dari komentar yang menunjukkan wajib bagi wanita untuk berkhatan.

Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Syeikhul Azhar) pula mengatakan bahawa para doktor berkata kesan daripada wanita tidak berkhatan adalah akan menaikkan syahwatnya dan dibimbangi mendorong kepada sesuatu yang tidak diingini.


Berkata pula Prof. Dr Md Hasan Al-Hafnawi, pakar perubatan kulit di kuliah perubatan al-Azhar dan Dr Md Sadiq selepas melihat hadith-hadith Nabi, mereka memberi pandangan dari aspek perubatan.
“Kelentit wanita (yang dipotong sebahagian jika dikhatan) yang berada di pangkal faraj wanita memberi rangsangan terkuat untuk hubungan lelaki dan wanita, dan kekuatan rangsangannya boleh mencecah 7 kali lebih sensitif dari zakar lelaki.” dan pelbagai lagi hasil kajian mereka yang tidak sempat saya terjemahkan.

Di akhirnya pakar perubatan ini berkata :
“Demi menjaga maruah dan kehormatan wanita dan kewanitaannya, wajiblah kita mengikuti ajaran Islam dalam hal ini, yang terbaik bagi wanita adalah “isymam” atau memotong sedikit hujung dari kelentit.” ( Majalah, Oktober 1994)


Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi setelah membawakan dalil-dalil bagi kumpulan yang mewajibkan berkata, hadith-hadith dalam hal wajib khitan bagi wanita adalah lemah. Justeru khatan adalah wajib bagi lelaki sahaja, dan tidak wajib dan tidak juga sunat bagi wanita. Hanyalah harus bagi wanita, dan digalakkan jika boleh membawa kepada manfaat, dan tidak digalakkan jika sebaliknya.

Qaradawi juga berkata, setakat pengetahuannya bahawa wanita-wanita Arab kebanyakkan tidak berkhitan kecuali Mesir dan Sudan. Adapun negara Arab di Teluk dan Maghribi tiada khatan bagi wanitanya, dan ulamanya juga senyap tiada memberi komen.


Rasulullah Berkhatan

Menurut pandangan dan kajian oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zadul Ma’ad, pandangan yang paling tepat adalah Rasulullah  SAW di khatankan oleh Abd Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda mengikut kebiasaan Arab. Dan pandangan bahawa Rasululllah SAW dilahirkan dalam keadaaan berkhatan adalah lemah, demikian juga pandangan yang menyatakan bahawa Jibrail a.s. yang mengkhatankan baginda semasa membelah dada baginda SAW.

About Me

My Photo
not matter how hard.. i need to face it. GET better in time.